Penemuan Alkitab

Pelajaran 26

Penebusan: Yesus dikhianati dan dijatuhi hukuman

Yohanes 18:1-19:16

Langkah 1: Baca cerita

Baca atau dengar petikan berikutnya

x1.0

Yudas mengkhianati Yesus
1 Setelah berdoa demikian, Yesus pergi diiringi murid-murid-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di sana ada sebuah taman. Yesus dan murid-murid-Nya masuk ke taman itu. 2 Yudas, yang mengkhianati Yesus, mengetahui tempat itu juga kerana Yesus kerap ke situ dengan murid-murid-Nya. 3 Dengan demikian, Yudas pergi ke situ membawa sepasukan askar dan sebilangan pegawai, ketua imam serta orang Farisi. Mereka membawa lantera, suluh serta senjata. 4 Yesus mengetahui segala yang akan terjadi ke atas-Nya. Dia pun mendekati mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?”

5 Mereka menjawab, “Yesus orang Nazaret.”

Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.”

Yudas, yang mengkhianati Yesus, berdiri bersama mereka di situ. 6 Apabila Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah. 7 Yesus bertanya lagi kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?”

Mereka menjawab, “Yesus orang Nazaret.”

8 Yesus berkata, “Aku sudah berkata bahawa Akulah Dia. Kalau Aku yang kamu cari, biarkanlah mereka ini pergi.” 9 (Dengan demikian terlaksanalah apa yang pernah dikatakan-Nya, “Tiada seorang pun yang Kauserahkan kepada-Ku sesat.”)

10 Simon Petrus yang memiliki sebilah pedang menghunusnya lalu menetak telinga kanan hamba imam besar sehingga terputus. Nama hamba itu Malkus. 11 Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkan semula pedangmu! Bukankah Aku mesti minum daripada cawan penderitaan yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa?”

Yesus di hadapan imam
12 Setelah itu, askar-askar dengan ketua mereka dan pegawai-pegawai Yahudi menangkap dan mengikat Yesus. 13 Mula-mula mereka membawa-Nya ke hadapan Hanas, bapa mertua Kayafas, imam besar pada tahun itu. 14 Kayafas yang memang dahulunya berkata kepada orang Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati demi seluruh bangsa.

15 Simon Petrus dan seorang murid lain ikut serta apabila Yesus dibawa pergi. Oleh sebab murid lain ini dikenali oleh imam besar, dia masuk bersama Yesus ke halaman rumah imam besar. 16 Petrus menanti di luar, di hadapan pintu. Sejurus kemudian, murid lain yang mengenal imam besar itu keluar semula, bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk. 17 Kemudian hamba perempuan penjaga pintu itu berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu seorang daripada murid orang itu?”

Petrus menjawab, “Bukan.”

18 Hamba dan pegawai berdiri di situ setelah menyalakan api kerana pada masa itu hawa sejuk. Mereka sedang berdiang di situ. Petrus pun berdiri di situ dan berdiang bersama mereka.

19 Imam besar menyoal Yesus tentang murid-murid-Nya dan ajaran-Nya. 20 Yesus menjawab, “Aku sentiasa bercakap terang-terangan kepada dunia. Aku sering mengajar di saumaah dan di Bait Suci, tempat semua orang Yahudi berhimpun. Tidak pernah Kukatakan apa-apa secara rahsia. 21 Mengapakah kamu menyoal-Ku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar apa yang Kukatakan kepada mereka. Mereka tahu apa yang Kukatakan itu.”

22 Seorang pegawai di situ menampar Yesus sambil berkata, “Begitukah Kamu bercakap kepada seorang imam besar?”

23 Yesus berkata kepadanya, “Sekiranya yang Kukatakan itu salah, tunjukkanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi kalau kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar-Ku?”

24 Selepas itu, Hanas menyuruh orang membawa Yesus yang masih dalam keadaan terikat ke hadapan Imam Besar Kayafas.

Petrus menyangkal Yesus
25 Simon Petrus masih berdiri berdiang. Maka orang di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu seorang daripada murid orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan!”

26 Seorang daripada hamba imam besar ada di situ. Dia saudara kepada hamba yang ditetak putus telinganya oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang kulihat di taman itu bersama-Nya?”

27 Petrus menyangkal-Nya lagi, dan sejurus selepas itu, ayam berkokok.

Yesus di hadapan Pilatus
28 Kemudian mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Tetapi orang Yahudi tidak turut masuk ke dalam istana itu kerana pagi masih awal. Mereka tidak mahu terkena najis, kerana mereka hendak menyertai jamuan Paskah. 29 Oleh yang demikian, Pilatus keluar menemui mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhanmu terhadap orang ini?”

30 Mereka menjawab, “Jika orang ini tidak melakukan perbuatan jahat, sudah tentu kami tidak akan membawa-Nya ke hadapanmu.”

31 Kemudian Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah Dia dan adili Dia mengikut undang-undangmu.”

Orang Yahudi menjawab, “Kami tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjatuhkan hukum mati ke atas seseorang.” 32 Dengan demikian akan terjadilah apa yang telah dikatakan oleh Yesus tentang cara kematian-Nya.

33 Selepas itu, Pilatus masuk semula ke istana dan memanggil Yesus lalu bertanya, “Adakah Kamu Raja orang Yahudi?”

34 Yesus menjawab, “Adakah kata-kata ini daripada dirimu sendiri, atau adakah orang lain mengatakannya kepadamu tentang diri-Ku?”

35 Pilatus menjawab, “Adakah aku seorang Yahudi? Bangsa-Mu sendiri dan ketua-ketua imam telah membawa-Mu kepadaku. Apakah yang telah Kaulakukan?”

36 Yesus menjawab, “Kerajaan-Ku bukanlah daripada dunia ini. Kiranya kerajaan-Ku dari dunia ini, tentulah para murid-Ku berjuang mempertahan-Ku daripada diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi kerajaan-Ku bukanlah dari sini.”

37 Dengan demikian Pilatus pun berkata kepada-Nya, “Jadi, adakah Kamu seorang raja?” Yesus menjawab, “Betul katamu. Aku seorang raja. Aku dilahirkan ke dunia untuk memberikan kesaksian tentang kebenaran. Setiap orang yang memihak kepada kebenaran mendengar suara-Ku.”

38 Pilatus berkata kepada-Nya, “Apakah itu kebenaran?” Kemudian dia keluar mendapatkan orang Yahudi lalu berkata, “Aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali. 39 Tetapi kamu ada satu adat, iaitu aku harus membebaskan seorang daripada bangsamu pada Perayaan Paskah. Mahukah kamu kubebaskan Raja orang Yahudi?”

40 Mereka semua berteriak lagi, “Jangan bebaskan orang itu. Bebaskan Barabas.” Barabas itu seorang perompak.

1 Setelah itu, Pilatus pun membawa Yesus dan mengarahkan supaya Yesus disesah. 2 Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Yesus. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya. 3 Mereka datang kepada-Nya dan berkata, “Daulat Raja orang Yahudi!” lalu menampar-Nya.

4 Pilatus keluar lagi dan berkata kepada mereka, “Lihat, aku bawa Dia kepadamu, supaya kamu tahu aku mendapati Dia tidak bersalah sama sekali.” 5 Yesus pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, “Lihatlah orang ini!”

6 Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, “Salibkan Dia! Salibkan Dia!”

Pilatus berkata kepada mereka, “Kamu ambil dan salibkan Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.”

7 Orang Yahudi itu menjawab, “Kami ada hukum, dan menurut hukum itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Anak Allah.”

8 Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut. 9 Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Yesus, “Dari manakah Kamu ini?”

Tetapi Yesus tidak menjawab. 10 Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah Kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?”

11 Yesus menjawab, “Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.”

12 Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, “Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah sahabat Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.”

13 Ketika Pilatus mendengar kata-kata demikian, dia pun membawa Yesus, lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang disebut “Laman Batu”, dalam bahasa Ibrani Gabbatha. 14 Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk Perayaan Paskah, kira-kira jam keenam.

Pilatus berkata kepada orang Yahudi, “Lihatlah Raja kamu!”

15 Tetapi mereka berseru, “Bawa Dia pergi! Bawa Dia pergi! Salibkan Dia!”

Pilatus berkata kepada mereka, “Adakah kamu mahu aku salib Rajamu?”

Ketua-ketua imam menjawab, “Kami tidak ada raja selain Kaisar.”

16 Oleh itu, Pilatus pun menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalib. Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi.

Langkah 2: Cerita Semula

Ambillah masa untuk menceritakan semula dengan kata-kata sendiri. Cakaplah dengan suara kuat yang boleh didengar, atau tuliskannya. Jika anda terlupa atau tidak dapat mengingat cerita itu, baca atau dengar semula.

Langkah 3: Temukan Cerita

Jika anda pernah mendengar cerita ini, ambil masa sebentar untuk merenungkan atau membincangkan soalan-soalan berikut:


Get it on Google Play
Download on the App Store

Get Discovery Bible Studies on your phone

Discover copyright ©2015-2026 discoverapp.org

Malay Scripture verses Alkitab Versi Borneo ©2015 Borneo Sabda Limited. Used with permission. All rights reserved.