Penemuan Alkitab

Pelajaran 12

Penebusan: Kelahiran Yesus yang menakjubkan

Lukas 1:26-38, 2:1-20

Langkah 1: Baca cerita

Baca atau dengar petikan berikutnya

x1.0

Pemberitahuan tentang kelahiran Yesus
26 Dalam bulan yang keenam, malaikat Gabriel diutus Allah ke Nazaret, sebuah kota di jajahan Galilea, 27 kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maria. 28 Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, “Salam kepadamu yang amat diredai! Tuhan bersamamu!”

29 Hati Maria runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut. 30 Seterusnya malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Maria, kerana engkau telah diredai Allah. 31 Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Yesus. 32 Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya. 33 Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaan-Nya berkekalan.”

34 Lalu Maria berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?”

35 Malaikat itu menjawab, “Roh Kudus akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Anak Allah. 36 Tambahan pula, saudaramu Elisabet yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua. 37 Sebabnya bagi Allah tidak ada yang mustahil.”

38 Maria berkata, “Aku ini hamba Tuhan. Semoga terjadilah kepadaku seperti yang engkau katakan itu.” Lalu malaikat pun meninggalkannya.

Kelahiran Yesus
1 Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk di seluruh dunia dibanci. 2 Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria. 3 Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri.

4 Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nazaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Betlehem di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud. 5 Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maria, tunangnya yang sedang hamil. 6 Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin. 7 Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan.

Gembala dan malaikat
8 Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka. 9 Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. 10 Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. 11 Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan. 12 Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.”

13 Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan syurga yang besar memuji-muji Allah:
   14 “Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi
     dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.”

15 Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, “Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.”

16 Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maria dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung.

17 Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu. 18 Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka; 19 tetapi Maria menyimpan segala perkara ini dalam hatinya dan merenunginya. 20 Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka.

Langkah 2: Cerita Semula

Ambillah masa untuk menceritakan semula dengan kata-kata sendiri. Cakaplah dengan suara kuat yang boleh didengar, atau tuliskannya. Jika anda terlupa atau tidak dapat mengingat cerita itu, baca atau dengar semula.

Langkah 3: Temukan Cerita

Jika anda pernah mendengar cerita ini, ambil masa sebentar untuk merenungkan atau membincangkan soalan-soalan berikut:


Get it on Google Play
Download on the App Store

Get Discovery Bible Studies on your phone

Discover copyright ©2015-2026 discoverapp.org

Malay Scripture verses Alkitab Versi Borneo ©2015 Borneo Sabda Limited. Used with permission. All rights reserved.